Friday 21 October 2011

Himpunan Cerita Sedih


-Suatu Kisah Yang Sedih- (Sediakan tisu sebelum baca)

20 tahun yang lalu saya melahirkan seorang bayi laki-laki, wajahnya comel tetapi nampak bodoh. Ali, suamiku memberinya nama Yusri. Semakin lama semakin nampak jelas bahawa anak ini sedikit terkebelakang. Saya berniat mahu memberikannya kepada orang lain sahaja supaya dijadikan budak atau pelayan bila besar nanti. Namun Ali mencegah niat buruk itu. Akhirnya terpaksa saya membesarkannya juga.Pada tahun kedua kelahiran Yusri, saya pun melahirkan pula seorang anak perempuan yang cantik. Saya menamakannya Yasmin. Saya sangat menyayangi Yasmin, begitu juga Ali. Seringkali kami mengajaknya pergi ke taman hiburan dan membelikan pakaian anak-anak yang indah-indah. Namun tidak demikian halnya dengan Yusri. Ia hanya memiliki beberapa helai pakaian lama. Ali berniat membelikannya, namun saya selalu melarang dengan alasan tiada wang. Ali terpaksa menuruti kata saya.

Saat usia Yasmin 2 tahun, Ali meninggal dunia. Yusri sudah berumur 4 tahun ketika itu. Keluarga kami menjadi semakin miskin dengan hutang yang semakin bertambah. Saya mengambil satu tindakan yang akhirnya membuatkan saya menyesal seumur hidup. Saya pergi meninggalkan kampung kelahiran saya bersama Yasmin. Saya tinggalkan Yusri yang sedang tertidur lelap begitu saja.

Setahun.., 2 tahun.., 5 tahun.., 10 tahun.. berlalu sejak kejadian itu. Saya menikah kembali dengan Kamal, seorang bujang. Usia pernikahan kami menginjak tahun kelima. Berkat Kamal, sifat-sifat buruk saya seperti pemarah, egois dan tinggi hati, berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih sabar dan penyayang. Yasmin sudah berumur 15 tahun dan kami menyekolahkan dia di sekolah jururawat. Saya tidak lagi ingat berkenaan Yusri dan tiada memori yang mengaitkan saya kepadanya. Hinggalah ke satu malam, malam di mana saya bermimpi mengenai seorang anak. Wajahnya segak namun kelihatan pucat sekali. Dia melihat ke arah saya. Sambil tersenyum dia berkata;

"Makcik, makcik kenal mama saya? Saya rindu sekali pada mama!"

Sesudah berkata demikian dia mulai pergi, namun saya menahannya.

"Tunggu..., saya rasa saya kenal kamu. Siapa namamu wahai anak yang manis?"

"Nama saya Yusri, makcik."

"Yusri...? Yusri... Ya Tuhan! Benarkah engkau ni Yusri???"

Saya terus tersentak dan terbangun. Rasa bersalah, sesal dan pelbagai perasaan aneh yang lain menerpa diri saya pada masa itu juga. Tiba-tiba terlintas kembali kisah yang terjadi dulu seperti sebuah filem yang ditayangkan kembali di kepala saya. Baru sekarang saya menyedari betapa jahatnya perbuatan saya dulu. Rasanya seperti mahu mati saja saat itu.

Ya, saya patut mati..., mati..., mati...!

Ketika tinggal seinci jarak pisau yang ingin saya goreskan ke pergelangan tangan, tiba-tiba bayangan Yusri melintas kembali di fikiran saya.

Ya Yusri, mama akan menjemputmu Yusri, tunggu ya sayang !

Petang itu saya membawa dan memarkir kereta Civic biru saya di samping sebuah pondok, dan ia membuatkan Kamal berasa hairan. Beliau menatap wajah saya dan bertanya;

"Hasnah, apa yang sebenarnya terjadi? Mengapa kita berada di sini?"

"Oh abang, abang pasti akan membenci saya selepas saya menceritakan hal yang saya lakukan dulu."

Aku terus menceritakan segalanya sambil teresak-esak. Ternyata Tuhan sungguh baik kepada saya. Ia memberikan suami yang begitu baik dan penuh pengertian. Selepas tangisan saya reda, saya keluar dari kereta dengan diikuti oleh Kamal dari belakang. Mata saya menatap lekat pada gubuk yang terbentang dua meter di hadapan saya. Saya mula teringat yang saya pernah tinggal dalam pondok itu dan saya tinggalkannya.

Yusri.. Yusri... Di manakah engkau, nak?

Saya meninggalkan Yusri di sana 10 tahun yang lalu. Dengan perasaan sedih saya berlari menghampiri pondok tersebut dan membuka pintu yang diperbuat daripada buluh itu.

Gelap sekali.

Tidak terlihat sesuatu apapun di dalamnya!

Perlahan-lahan mata saya mulai terbiasa dengan kegelapan di dalam ruangan kecil itu. Namun saya tidak menemui sesiapapun di dalamnya. Hanya ada sehelai kain buruk yang berlonggok di lantai tanah. Saya mengambil seraya mengamatinya dengan betul-betul. Mata mulai berkaca-kaca, saya mengenali potongan kain itu. Ini adalah baju buruk yang dulu dipakai oleh Yusri setiap hari.

Beberapa saat kemudian, dengan perasaan yang sangat sedih dan bersalah, sayapun keluar dari ruangan itu. Air mata saya mengalir dengan deras. Saat itu saya hanya diam saja. Sesaat kemudian saya dan Kamal mulai menaiki kereta untuk meninggalkan tempat tersebut. Namun, saya melihat seseorang berdiri di belakang kereta kami. Saya terkejut sebab suasana saat itu gelap sekali. Kemudian terlihatlah wajah orang itu yang sangat kotor. Ternyata ia seorang wanita tua. Saya terkejut lagi apabila dengan tiba-tiba dia menegur saya. Suaranya parau.

"Heii...! Siapa kamu?! Apa yang kamu mahu?!"

Dengan memberanikan diri, saya pun bertanya;

"Ibu, apakah ibu kenal dengan seorang anak bernama Yusri yang dulunya tinggal di sini?"

Dia menjawab;

"Kalau kamu ibunya, kamu adalah perempuan terkutuk!! Tahukah kamu, 10 tahun yang lalu sejak kamu meninggalkannya di sini, Yusri terus menunggu ibunya dan memanggil;

'Mama, mama!'

"Kerana tidak tahan melihat keadaannya, kadang-kadang saya memberinya makan dan mengajaknya tinggal bersama saya. Walaupun saya orang miskin dan hanya bekerja sebagai pemungut sampah, namun saya tidak akan meninggalkan anak saya seperti itu!"

"Tiga bulan yang lalu Yusri meninggalkan sehelai kertas ini. Ia belajar menulis setiap hari selama bertahun-tahun hanya untuk menulis ini untukmu..."

Saya pun membaca tulisan di kertas itu...

"Mama, mengapa mama tidak pernah kembali lagi...? Mama marah pada Yusri, ya? Mama, biarlah Yusri yang pergi saja, tapi mama harus berjanji mama tidak akan marah lagi pada Yusri."


Saya menjerit histeria membaca surat itu.

"Tolong bagi tahu.. di mana dia sekarang? Saya berjanji akan menyayanginya sekarang! Saya tidak akan meninggalkannya lagi! Tolonglah cakap...!!!"

Kamal memeluk tubuh saya yang terketar-ketar dan lemah.

"Semua sudah terlambat. Sehari sebelum kamu datang, Yusri sudah meninggal dunia. Dia meninggal di belakang pondok ini. Tubuhnya sangat kurus, ia sangat lemah. Hanya demi menunggumu ia rela bertahan di belakang pondok ini tanpa berani masuk ke dalamnya. Dia takut apabila mamanya datang, mamanya akan pergi lagi apabila melihatnya ada di dalam sana. Dia hanya berharap dapat melihat mamanya dari belakang pondok ini. Meskipun hujan deras, dengan keadaannya yang lemah ia terus berkeras menunggu kamu di sana . Dosa kamu tidak akan terampun!"

Ya Allah! Ampunkanlah dosaku! Yusri, ampunkan mama nak!

Saturday 15 October 2011

-Selamat Tinggal Ibu-





“KAKAK, tolong ambilkan ibu air masak,”
kata ibu pada suatu malam selepas ibu penat bekerja. Tanpa disuruh-suruh, aku mengambil segelas cawan yang berisi air yang telah tersedia dan memberinya kepada ibu. Sudah menjadi kebiasaanku.

“Terima kasih anak ibu,” kata ibu sambil bersandar pada sofa yang dibelinya dari Paris . Suaranya lunak. Tanganku terus ke kepala ibu untuk memicit ibuku.

“Ibu penat?”

“Hmm…penat sangat. Tapi penat ibu terus hilang bila tengok kakak. Kakak dah siap assignment? Buat apa tadi?’’

“Dah siap lama dah. Sampai tertidur tadi kakak tunggu ibu. ibu dah makan?”

“Dah. ibu nak solat kejap ye.”

“ok,”
Jawabku ringkas. Aku tinggal berempat sahaja bersama ibu, Mak Mah dan Pak Samat di teratak kami yang terletak di Country Heights ini. Maahad? Sekolah lamaku dulu yang meninggalkan banyak memori.

Mentarbiah hati setiap waktu. Namun itu dahulu. Kini sekolah agama yang tersohor tidak lama dulu sudahpun bertukar menjadi SBP tanpa ‘i’ bersebelahan huruf ‘P’. Ayahku telah lama meninggal dunia. Ayah meninggal pada hari kelahiranku. Kata ibu, ayah tergesa-gesa ke hospital setelah mendapat panggilan dari pihak hospital yang mengatakan masa untukku lahir sudah tiba.

HUJAN turun dengan lebatnya. Sebagai seorang lelaki yang sudahpun bertukar ke title seorang bapa, Mustaqim berasa amat gembira menerima kelahiran puteri pertamanya. Tanpa menghiraukan hujan lebat yang mencurah-curah, Mustaqim sengaja menekan minyak mercedesnya meluncur laju ke hospital. Dengan hati yang berbunga-bunga riang. Dia mula terbayang-bayang wajah puterinya itu dengan senyuman isteri tercinta. Berkhayal. Indahnya! Tiba-tiba sebuah lori ESSO yang membawa muatan minyak membelok ke kanan lebuh raya Kajang Silk. Tanpa sebarang amaran. Bakal ayah ini panic dan menekan brek kereta. Kereta terperosok ke bawah lori tanker. Kepala ayah terkoyak menampakkan tengkoraknya apabila terhentak ke stering. Darah mengalir laju, tanpa segan silu. Selang beberapa minit lori itu “bom!” meletup!


TANGGG!
Dulang makanan yang dibawa nurse Munirah terjatuh. Ibu terkejut. Makanan bersepah di atas lantai hospital.
“Maaf ya, puan,” ujarnya serba salah.

“Tak mengapa,” ujar ibu tenang. Namun gejolak dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Ibu amat gembira kerana aku dapat lahir dengan selamat akan tetapi ibu berasa cemas apabila kelibat ayah masih lagi belum muncul. Akhirnya, pihak hospital memberitahu ibu tentang kematian ayah. Ibu bagai hendak histeria ketika itu. Ibu amat sedih. Setiap kali teringatkan ayah pasti mataku akan berair. Ngilu terasa menghiris jiwa.

“Kenapa ni anak ibu?” soal ibu apabila melihatku.

“Tak ada apa-apa, bu,” jawabku ringkas. Suasana menjadi hening seketika.

“guess what, sayang?”

“What?”

“ibu terpaksa outstationlah. Seminggu pulak tu. Kali ni ibu kena pergi ke Ireland. Ibu ada mesyuarat dan seminar di sana. Kakak tak apa-apa kan?” kata ibu, mengenggam erat-erat tanganku. Mataku sengaja aku bulatkan.

“Kenapa lama sangat, bu?’’ rungutku. Entahlah…. Berat rasanya untuk melepaskan ibu kali ini biarpun aku sudah terbiasa ditinggalkan ibu.

“Mestilah lama. Dah namanya pun outstation. Hari tu lagi lama kan? Sebulan ibu di Beijing. Semuanya akan okay. Kakak janganlah risau. Doakan ibu selamat pergi dan balik ye. Kakak kan anak solehah.’’

“Tapi, bu…….. Ibu tak payah lah pergi. You’re the big boss, bu. suruhlah orang lain.’’ Kataku dengan nada sedikit merajuk. Mulut muncung.

“Muncung dia….. sedepa! Anak ibu kan good girl? Kakak 6 tahun ke 26 tahun?’’ pujuk ibu sambil mencuit hidungku. Seperti memujuk budak kecil. Tawaku dan ibu terburai.

“Okay boss! Mari kakak tolong ibu kemas baju. Ibu pergi esok kan?’’

“Yes, darling.’’ Ibu tersenyum.


HARI ini mendung semendung hatiku. Rasa tak sedap hati masih menyucuk-nyucuk hati ini. Dari semalam aku asyik berdoa. Ya ALLAH selamatkanlah perjalanan ibuku. Selepas bersarapan aku menghantar ibu ke lapangan terbang.

“Betul ke ibu nak pergi ni?’’ soalku setelah tiba di lapangan terbang.

“Betullah. Dah sampai kat airport pun. Takkan nak patah balik kot?’’ Usik ibu sambil mencubit pipiku.

“Jaga diri ibu baik-baik tau. Ibu call lah kakak tiap-tiap hari. Sampai sana terus call jugak tau,’’ kataku sayu sambil memeluk ibu.

“Hmm… ibu mestilah call anak ibu yang sorang ni. Kakak belajar elok-elok tau. Mak Mah ada dekat rumah. Kakak janganlah takut.’’

“Bu, kakak minta maaf kalau-kalau ada perbuatan atau kata-kata kakak menyinggung perasaan ibu. Halalkan makan minum kakak, ibu,’’ entah kenapa tiba-tiba sahaja ayat itu terkeluar dari mulutku. Aku sendiri tidak pasti. Wajah ibu aku pandang dalam-dalam.

“Ibu dah lama maafkan kakak. Kakak pun maafkan ibu ye. Ibu ada marah-marah kakak tanpa sebab…’’

“Tak… tak pernah pun,’’ kataku. Setitis air jernih tertumpah jua. Mengalir ke pipi. Terasa sungguh syahdu. Itulah kali pertama aku menangis di depan ibu.

Jauh disudut hatiku mengatakan inilah kali terakhirku bersama ibu. Dari kejauhan pemandu kami, Pak Mat bergegas membawa bagasi ibu.

“Sabila Husna… janganlah menangis, sayang. Ibu pergi tak lama. Minggu depan ibu balik. Jangan macam ni. Walau apa pun terjadi, kakak kena ingat ibu sentiasa ada dalam hati kakak,’’ tanganku dipegang ibu dan diletaknya tepat di jantungku.

"Ibu pergi dulu, sayang…’’ Air mataku mengalir laju tanpa disuruh-suruh mengiringi pemergian ibu.
"Ibu, I love you!’’

“Love you too, kakak,’’ kata-kata terakhir ibu sebelum pergi. Kata-kata terakhir yang tak akan pernah aku lupa.


“IBU? Bila ibu balik? Tak call kakak pun. Kesian ibu balik naik teksi. Kenapa tak suruh Pak Mat ambil ibu? "Kakak rindulah dekat ibu,’’ soalku apabila masuk ke bilik ibu. kelihatan ibu diatas sejadah, siap bertelekung.

Mungkin ibu baru sahaja selesai bermunajat kepada Yang Satu, fikirku. Aku mengambil tempat di sebelah ibu. bersalam dan mencium tangan ibu. Tangan ibu sejuk.

“ibu baru balik, sayang. Tapi kejap lagi ibu kena pergi,’’ kata ibu sambil mengusap kepalaku.

"Nak pergi lagi? Nak pergi mana? Ibu tak kesian kat kakak ke?’’ air mataku bergenang entah kenapa.Wajah ibu amat syahdu sekali.

Sambil berdiri, ibu berkata, "Kali ni ibu pergi lagi lama dan jauh. Kakak doakan ibu ya.’’ Aku menarik tangan ibu. namun, ibu melepaskannya dengan perlahan-lahan, meninggalkan aku sendirian.

"Ibuuuuuuuuu!!!!!!!!!!!!!’’


"KAKAK…Kakak… Bangunlah…’’ terdengar suara Mak Mah. Kenapa pulak lah Mak Mah kejut aku pagi-pagi ni? Subuh pun tak masuk lagi. Kelas mula pukul 10 pagi nanti.

"Mak Mah kenapa kejut kakak pagi-pagi ni?’’ soalku sambil menarik selimut.

"Ibu…’’

"Hah? Ibu ada call ke?’’ mataku terus cerah.

"Bukan…bila Mak Mah cakap kakak jangan terkejut tau. Janji?’’

"Yes promise,’’ kataku. Hatiku berdebar hebat. Aku membetulkan kedudukanku.

"Ibu… ibu dah tak ada.’’ Hatiku bagai direntap kuat apabila mendengar berita itu.

"Ap…apa Mak Mah cakap tadi? Dah tak ada? No, it can’t be. Baru tadi kakak jumpa ibu,’’ ujarku sungguh-sungguh. Rasa tidak sedap hati semakin memuncak bagai lahar gunung berapi membuak-buak meletus keluar dari mulut gunung berapi yang sudah lama pendam. Mataku berkaca. ‘’Ibu ada tadi.’’ Suaraku mengendur.

"Kakak… kakak mengucap. Bersabar. Tadi pihak hospital di sana telefon Mak Mah. Mereka kata ibu kemalangan dan koma. Kereta ibu terjunam ke dalam gaung. Banyak darah ibu hilang dan di kepala ibu ada darah beku. Mereka dah cuba sedaya upaya untuk selamatkan ibu tapi ALLAH lebih sayangkan ibu,’’ terang Mak Mah.

Air mataku seperti tiada nilai lagi. Mengalir deras sederas air sungai yang mengalir. Hidup ini terasa kosong dan tidak ada gunanya aku hidup. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Siapa lagi yang aku ada??? Ya RABB besarnya ujian yang KAU berikan padaku. Tika ini bergema dalam hatiku sebuah suara, yang tidak tahu datangnya dari siapa, membisikkan semangat dalam diriku, ’’Cukuplah ALLAH bagiku; tidak ada Tuhan selain DIA. Hanya kepada-NYA aku bertawakkal.’’

"ASSALAMUALAIKUM ibu, kakak balik dulu. Esok kakak datang lagi. I love you, ibu,’’ kataku setelah selesai membaca Yaasiin dan berdoa. Sudah sebulan ibu meninggalkan aku. Sambil melangkah pergi meninggalkan kubur ibu, dengan keadaan yang damai kurasakan, aku memejamkan mata.
“kakak…”

Tiba-tiba suara itu menerjah ke gegendang telingaku. Tidak pula aku membuka mata untuk mencarinya. Sungguh aku kenal suara itu kerana suara itu akan sentiasa bergema dalam hatiku buat selama-lamanya.

♥<3bersyukurlah kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa♥♥

Tuesday 11 October 2011

Kisah Benar Ibu Yang Berhati Mulia





Kisah Benar Ibu Yang Berhati Mulia

Kisah ini adalah kisah benar sebuah keluarga
 yang sangat miskin, yang mempunyai seorang anak laki-laki di sebuah negara. Ayahnya sudah meninggal dunia, hanya tinggal ibunya yang sudah tua dan anak lelakinya sahaja tempat menumpah kasih sayang.

Ibunya bersusah payah membesarkan seorang anaknya, pada masa itu kampung tersebut belum memiliki elektrik. Semasa membaca buku, anaknya tersebut hanya diterangi sinar lampu minyak tanah, sedangkan ibunya dengan penuh kasih sayang menunggu anaknya sambil menjahitkan baju untuk sang anak.

Semasa memasuki musim luruh, adalah waktu bagi anaknya untuk memasuki sekolah menengah atas. Tetapi pada masa itulah ibunya menderita penyakit radang sendi-sendi atau Rheumatoid Arthritis ( RA ) yang parah sehingga tidak boleh lagi bekerja di sawah.

Di sekolah itu, setiap bulannya waris murid-murid diwajibkan membawa 30 kg beras untuk di bawa ke kantin sekolah. Anak ini mengerti bahawa ibunya tidak mungkin boleh memberikan tiga puluh kg beras tersebut.

Berkatalah ia kepada ibunya: " Bu, saya mahu berhenti sekolah sahaja dan membantu ibu bekerja di sawah".

Ibunya mengusap kepala anaknya dan berkata : "Niat kamu sungguh mulia nak, kamu memiliki niat seperti itu saja ibu sudah senang, tetapi kamu harus pergi bersekolah. Jangan khuatirkan ibu ya nak. Cepatlah pergi daftarkan ke sekolah nanti berasnya biar ibu yang akan mengantarkannya kesana".

Namun, anaknya tetap berkeras tidak mahu mendaftar ke sekolah, ibunya mula marah dan menampar anak tersebut. Dan ini adalah pertama kalinya anak ini dipukul oleh ibunya.
Dengan berat hati, akhirnya anaknya pergi juga kesekolah. Ibunya terus berfikir dan merenung dalam hati sambil melihat bayangan anaknya yang pergi menjauh.

Tidak berapa lama kemudian, dengan lemah longlai dan nafas tercungap-cungap ibunya datang ke kantin sekolah dan menurunkan sekampit beras dari bahunya, pengawas yang bertanggung jawab menimbang beras dan membuka kampit beras lalu mengambil segenggam beras tersebut dan menimbangnya. Tiba tiba dia berkata :
" Hai waris murid, kami tidak menerima beras yang isinya campuran beras dan antah. Jangan menganggap kantin saya ini tempat mengumpul beras campuran". Begitu malunya ibu ini, hingga tak henti hentinya berkali-kali meminta maaf kepada ketua pengawas tadi.

Awal bulan berikutnya ibu ini memikul sekampit beras dan masuk kedalam kantin. seperti biasanya beras tersebut diteliti oleh pengawas. Dengan dahi yang mengerut, ketua pengawas berkata: "Masih dengan beras yang sama". Selepas ini kalau begini lagi, maka saya tidak boleh menerimanya".

Ibu ini sedikit takut dan berkata : "Tuan pengawas, beras di rumah kami semuanya seperti ini jadi bagaimana?
Pengawas itu pun tidak mahu tahu dan berkata : "Berapa luas sawah yang ibu kerjakan, sehingga berasnya boleh bercampur seperti ini". Mendengar sindiran pertanyaan seperti itu ibu tersebut akhirnya tidak berani berkata apa-apa lagi.

Awal bulan ketiga, ibu ini datang kembali ke sekolah. Ketua pengawas kembali marah besar dengan kata-kata kasar dan berkata: "Kamu sebagai waris murid kenapa begitu keras kepala, kenapa masih tetap membawa beras yang sama. Bawa pulang saja berasmu itu !"

Dengan berlinang air mata ibu ini pun berlutut di depan pengawas tersebut dan berkata: "Maafkan saya tuan, sebenarnya beras ini saya dapat dari mengemis".

Mendengar kata ibu ini, pengawas itu terkejut dan tidak boleh berkata apa-apa lagi. Dilihatnya ibu tua tadi duduk di atas lantai, menggulung seluarnya dan memperlihatkan kakinya yang sudah mengeras dan membengkak.

Ibu tersebut mengesat air mata dan berkata: "Saya menderita sakit radang sendi-sendi , malah untuk berjalan pun susah, apalagi untuk bercucuk tanam. Anakku sangat mengerti keadaanku sehingga mahu berhenti sekolah untuk membantuku bekerja disawah. Tapi saya melarang dan menyuruhnya terus bersekolah."

Selama ini saya tidak pernah memberi tahu sanak saudara yang ada di kampung . Lebih-lebih untuk memberitahu pada anakku, aku takut menjatuhkan harga dirinya.

Setiap hari pagi-pagi buta dengan kampit kosong dan bantuan tongkat, aku pergi ke pasar, tempat orang menjual beras, hanya untuk mengemis beras beras yang tercecer di pelantar. Dengan susah payah aku pergi kedai demi kedai hanya untuk mencari beras tercicir.
Sehingga hari sudah gelap, aku pun perlahan-lahan kembali ke kampung sendiri. Sehingga pada awal bulan semua beras yang terkumpul memenuhi syarat untuk diserahkan kesekolah.

Pada masa ibu tua itu bercerita, secara tidak sedar air mata Pengawas itupun mulai mengalir, kemudian mengangkat ibu tersebut dari lantai dan berkata: "Bu sekarang saya akan melapor kepada pihak sekolah, supaya boleh diberikan sumbangan untuk keluarga ibu."

Ibu tadi buru- buru menolak dan berkata: "Jangan, kalau anakku tahu ibunya pergi mengemis untuk sekolah anaknya, maka itu akan menjatuhkan harga dirinya. Dan itu akan mengganggu pelajarannya. Saya sangat terharu dengan kebaikan hati tuan pengawas, tetapi tolong ibu agar boleh menjaga rahsia ini."

Akhirnya masalah ini diketahui juga oleh pihak sekolah. Secara diam- diam Pengetua sekolah tidak meminta biaya sekolah dan biaya hidup anak tersebut selama tiga tahun. Setelah tiga tahun kemudian, anak tersebut lulus masuk ke perguruan tinggi Qing hua dengan nilai 627 point.

Di hari anugerah sekolah, Pengetua sekolah sengaja mengundang ibu anak ini duduk di tempat duduk utama. Ibu ini merasa aneh, begitu banyak murid yang mendapat nilai tinggi, tetapi mengapa hanya beliau yang diundang.

Yang lebih aneh lagi di sana masih terdapat tiga kampit beras. Pengawas sekolah tersebut akhirnya maju ke depan dan menceritakan sebuah kisah tentang seorang ibu yang mengemis beras demi sekolah anaknya.
Pengetua sekolah pun menunjukkan tiga kantong beras itu dengan penuh terharu dan berkata kepada para hadirin seraya menunjuk pada ibu tadi : "Inilah sang ibu dalam cerita tadi."

Dan mempersilakan ibu yang luar biasa tersebut untuk naik ke atas pentas. Anak ibu tersebut dengan ragu-ragu melihat ke arah gurunya yang sedang menuntun ibunya berjalan ke atas pentas.

Ibu dan nak ini pun saling bertatapan. Pandangan ibu yang tajam dan lembut kepada anaknya membuatkan anak tidak dapat untuk menahan tangisnya, dipeluknya susuk tua dihadapannya itu dan merangkul erat ibunya sambil terisak sambil berkata: "Begitu mulianya engkau Ibu, sungguh aku tak boleh untuk membalasnya..
Powered By Blogger